Pengenalan
Sebelum kedatangan kuasa asing ke tanah melayu, beberapa negeri di tanah melayu telahpun mempunyai sistem pemerintahan masing-masing yang tersendiri. Hal ini dapat dilihat pada zaman Kesultanan Melayu Melaka yang mengamalkan Undang-undang Laut Melaka dan Hukum Kanun Melaka. Sementara itu, negeri-negeri yang lain mengamalkan adat tradisional, iaitu Adat Temenggung dan Adat Perpatih. Adat Perpatih biasanya diamalkan di Negeri Sembilan dan Melaka. Masyarakat Melayu tradisional mementingkan adat dalam kehidupan mereka. Situasi ini menggambarkan telah wujudnya suatu sistem yang mengawal dan mengatur tata cara hidup masyarakat pada masa itu. Perlembagaan moden hanya diperkenalkan setelah Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada tahun 1957 dan dikemaskinikan seteah terbentuknya Persekutuan Malaysia pada tahun 1963.
Dengan kata yang paling mudah Perlembagaan adalah kumpulan kaedah (cara) dan panduan untuk mengatur pentadbiran sesebuah Negara. Panduan itu mengandungi di antara lain, asasi-asasi untuk membuat undang-undang supaya kerajaan yang memerintah boleh mengatur Negara dengan lancar dan saksama. Ada beberapa perkara besar yang digariskan dalam sebuah Perlembagaan seperti kebebasan asasi, hak dan tanggungjawab pelbagai pihak berkuasa (kerajaan) dan juga rakyat. Perkara-perkara penting yang lain adalah seperti kewarganegaraan, kehakiman, kewangan, Pilihan Raya dan agihan kuasa di antara pihak-pihak yang bertanggungjawab seperti di antara peringkat pusat dan peringkat negeri. Tegasnya Perlembagaan mengandungi satu set peraturan tentang hak, kuasa dan prosedur serta tanggungjawab pihak yang mengawal dan/atau memandu hubungan di antara satu autoriti dengan autoriti yang lain, dan juga di antara autoriti dengan rakyat awam.
Banyak Negara mempunyai Perlembagaan bertulis, Perlembagaan bertulis dalam praktisnya disokong oleh pelbagai dokumen tambahan dan sumber lain yang menguatkan perjalanan perlembagaan itu. Perlembagaan yang berfungsi adalah Perlembagaan yang hidup dan dinamis, dalam erti kata ia tidak beku setelah digubal pada kali pertamanya. Sebaliknya, ia (mana-mana bahagian yang berkenaan) diubah suai dan dikemas kini mengikut keadaan dan tuntutan semasa. Negara kita Malaysia merupakan satu contoh Negara yang sensitif kepada keperluan semasa. Apabila situasi berubah dan menyebabkan sesuatu perkara dalam Perlembagaan Malaysia sudah tidak sesuai, maka pindaan sewajarnya dilakukan. Sikap dan tindakan begini membolehkan Perlembagaan Malaysia sentiasa praktik dan sentiasa sesuai untuk memandu pemerintahan Negara dan sekaligus memandu tingkah laku rakyat sepanjang masa.
No comments:
Post a Comment